

Salam
Sejahtera,
Setelah menerajui kepimpinan
KPPK Johor, saya mengucapkan terima kasih kerana tuan/puan sudi melawat laman
web kami ini. Saya merasa berbesar hati kerana KPPK Johor berjaya menghasilkan
laman webnya sendiri di alamat https://members.tripod.com/~kppkjohor. Kami akan berusaha memuatkan laman web ini dengan pelbagai informasi yang
bermanfaat kepada ahli-ahli KPPK khususnya dan semua golongan pendidikan amnya.
KPPK Johor
berazam dengan penuh tekad untuk merealisasikan WAWASAN KPPK melalui pembentukan
“think tank” dan pasukan petugas yang terbaik untuk merancang dan melaksanakan
pelbagai program ke arah melahirkan golongan pendidik yang inovatif, dinamik
dan progresif sejajar dengan misi KPPK. Kami yang diamanahkan oleh ahli-ahli
kesatuan, akan berusaha dengan sehabis baik dan penuh keiltizaman agar KPPK
menjadi kesatuan sekerja yang cekap dan berwibawa untuk melindungi dan
memperjuangkan hak-hak kaum pendidik serta berusaha menghasilkan golongan
pendidik yang mampu menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat yang
berkualiti dan cekap ke arah kecemerlangan profesyen pendidikan.
KPPK Johor
mengajak kaum guru untuk membuat anjakan paradigma agar mereka menjadi golongan
pendidik yang profesional yang mampu mengikuti perkembangan pendidikan global
yang amat mementingkan kemajuan teknologi maklumat atau IT. Guru harus sedar
bahawa pelajar pada masa ini mendapat ilmu tidak terhad daripada gurunya malah
mereka boleh meneroka dan menimba pelbagai ilmu pengetahuan daripada pelbagai
sumber dan media. Oleh itu guru mesti menguasai teknologi komputer khususnya
kaedah mengakses internet supaya dapat dimanfaatkan sebagai alat bantu terkini
dalam sistem pengajaran dan pembelajaran.
Akhirnya, saya
berharap para ahli KPPK Johor dapat menggunakan laman web ini, sebagai
wadah alternatif untuk menyalurkan berita, mengemukakan sebarang kemusykilan
tentang kerjaya dan informasi-informasi yang relevan dengan profesion keguruan
dengan lebih cepat dan mudah. Apa yang lebih menarik, segala sumbangan anda itu
dapat ditatap dan dibaca bukan hanya di Malaysia malah turut dapat dilayari
oleh sesiapa jua di mana-mana ceruk rantau dunia ini.
Sekian, Selamat Maju Jaya.
(CHING CHAI LAI)
Pengerusi KPPK Johor.
[Halaman][Ucapan
Pengerusi][Ucapan Setiausaha][Sejarah][Perjuangan
KPPK]
[Foto
Warga KPPK Johor][Aktiviti][Jalinan
Laman][Borang-borang]