Foto Saudara Ching Chai Lai, Pengerusi KPPK Cawangan Johor


Salam Sejahtera,

 

Setelah menerajui kepimpinan KPPK Johor, saya mengucapkan terima kasih kerana tuan/puan sudi melawat laman web kami ini. Saya merasa berbesar hati kerana KPPK Johor berjaya menghasilkan laman webnya sendiri di alamat https://members.tripod.com/~kppkjohor . Kami akan berusaha memuatkan laman web ini dengan pelbagai informasi yang bermanfaat kepada ahli-ahli KPPK khususnya dan semua golongan pendidikan amnya. 

 

KPPK Johor berazam dengan penuh tekad untuk merealisasikan WAWASAN KPPK melalui pembentukan “think tank” dan pasukan petugas yang terbaik untuk merancang dan melaksanakan pelbagai program ke arah melahirkan golongan pendidik yang inovatif, dinamik dan progresif sejajar dengan misi KPPK. Kami yang diamanahkan oleh ahli-ahli kesatuan, akan berusaha dengan sehabis baik dan penuh keiltizaman agar KPPK menjadi kesatuan sekerja yang cekap dan berwibawa untuk melindungi dan memperjuangkan hak-hak kaum pendidik serta berusaha menghasilkan golongan pendidik yang mampu menyediakan perkhidmatan dan khidmat nasihat yang berkualiti dan cekap ke arah kecemerlangan profesyen pendidikan. 

 

KPPK Johor mengajak kaum guru untuk membuat anjakan paradigma agar mereka menjadi golongan pendidik yang profesional yang mampu mengikuti perkembangan pendidikan global yang amat mementingkan kemajuan teknologi maklumat atau IT. Guru harus sedar bahawa pelajar pada masa ini mendapat ilmu tidak terhad daripada gurunya malah mereka boleh meneroka dan menimba pelbagai ilmu pengetahuan daripada pelbagai sumber dan media. Oleh itu guru mesti menguasai teknologi komputer khususnya kaedah mengakses internet supaya dapat dimanfaatkan sebagai alat bantu terkini dalam sistem pengajaran dan pembelajaran. 

 

Akhirnya, saya berharap para ahli KPPK Johor dapat menggunakan laman web ini, sebagai wadah alternatif untuk menyalurkan berita, mengemukakan sebarang kemusykilan tentang kerjaya dan informasi-informasi yang relevan dengan profesion keguruan dengan lebih cepat dan mudah. Apa yang lebih menarik, segala sumbangan anda itu dapat ditatap dan dibaca bukan hanya di Malaysia malah turut dapat dilayari oleh sesiapa jua di mana-mana ceruk rantau dunia ini. 


 

Sekian, Selamat Maju Jaya. 


 

(CHING CHAI LAI) 

Pengerusi KPPK Johor. 


 
 

[Halaman][Ucapan Pengerusi][Ucapan Setiausaha][Sejarah][Perjuangan KPPK]
[Foto Warga KPPK Johor][Aktiviti][Jalinan Laman][Borang-borang]